KUCHING: Kerjasama semua pihak diperlukan dalam meningkatkan pembangunan bakat anak Sarawak selain meningkatkan produktiviti melalui pendekatan pengukuhan kawal selia.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, bakat yang mahu dikembangkan itu tidak hanya tertumpu kepada siswazah atau industri.

“Jadi kita mesti bekerjasama. Kita tanya syarikat, berapa banyak pekerja mreka mahu…mahu 500 pekerja? Baik, kita tidak perlu menunggu siswazah atau lepasan sekolah mengikuti latihan yang sepatutnya sebelum menggaji mereka.

“Selepas mereka menamatkan sekolah atau universiti, kita hantar mereka ini terus ke kilang-kilang atau syarikat-syarikat,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Anugerah Productivity Champion, semalam.

Datuk Abdul Latif Abu Seman (tengah) merakamkan gambar bersama para penerima Anugerah Productivity Champion.

Menjelas lanjut, Abdul Latif berkata syarikat akan melatih lepasan sekolah atau siswazah terbabit dan setelah selesai latihan, sekiranya berkualiti mereka boleh terus diserapkan sebagai pekerja.

“Inilah yang kita lakukan. Kita telah menguji pendekatan ini, kita telah bekerjasama dengan Universiti Malaysia Perlis (UMP) kerana mereka menghasilkan siswazah yang diperlukan tetapi jenis bakat yang industri mahukan, mereka kata tiada.

“Itulah pendekatan yang kami panggil pengukuhan kawal selia. Jadi, di akhirnya nanti kita mahu melihat produktiviti itu berkembang,” katanya.

Justeru, beliau berharap melihat Sarawak pulih dengan cepat dan menjadi tiga negeri teratas dari segi produktiviti.

Dalam pada itu, Abdul Latif menambah, pembangunan untuk bakat masa depan adalah yang diperlukan negeri ini.

“Ini yang diperlukan oleh Sarawak, selari dengan dasar kerajaan negeri untuk penguasaan teknologi dan inovasi,” ujarnya.

Datuk Abdul Latif Abu Seman (tengah) menyampaikan Anugerah Productivity Champion kepada penerima.

Suara Sarawak