SIBU: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kampung Jeriah yang dibuka bagi menempatkan 46 mangsa daripada lima keluarga terjejas banjir di Kampung Seduan, Rabu lepas, ditutup berkuat kuasa pukul 1.00 tengah semalam.
Notis makluman penutupan itu diumumkan Pejabat Daerah Sibu dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) merangkap Residen Bahagian Sibu, Wong Hee Sieng memberitahu Bernama kesemua mangsa banjir telah dibenarkan kembali ke rumah masing-masing setelah keadaan banjir di kampung itu disahkan pulih.
Manakala Ketua Bomba dan Penyelamat Sibu, Janggan Mulling mengingatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir dan sepanjang sungai di sini supaya sentiasa berjaga-jaga terhadap sebarang kemungkinan banjir.
“Ini memandangkan hujan lebat dijangka turun berterusan dalam tempoh 24 jam ini dan pada masa sama kurangkan aktiviti di air,” katanya. — BERNAMA