Memandangkan reka bentuk mudah lipat, kita tidak memerlukan ruang besar untuk menyimpan, selain mudah dibawa ke mana-mana.

AKTIVITI berbasikal menjadi trend dalam kalangan masyarakat pada hari ini tanpa mengira peringkat usia dan jantina.

Disebabkan aktiviti berbasikal semakin meningkat, wujudnya inovasi basikal lipat yang menggunakan bahan tahan lasak.

Selain itu, basikal lipat ini sangat sesuai untuk beriadah bersama-sama seisi keluarga.

Menariknya, basikal lipat juga menjadi simbol status seseorang kerana harga basikal tersebut mencecah ribuan ringgit.

Menurut kajian British Heart Foundation, aktiviti berbasikal mampu mengurangkan risiko penyakit jantung.

Jelas, aktiviti berbasikal bukan sekadar hobi, tetapi ia dapat menyihatkan tubuh badan serta memberi kecergasan dan stamina.

Kadangkala minat dan hobi mampu mengubah sesuatu menjadi pendapatan lumayan.

Pemilik Jojo Cycles Nur Azhan Azhahari memulakan perniagaan ini sejak Disember lalu.

“Alhamdulillah, walaupun baru dibuka Disember lalu, kami berjaya menjual 15 unit basikal pelbagai jenama,” kata Azhan.

Selain itu, Jojo Cycle membekalkan lebih 10 jenama basikal lipat pada harga RM599 hingga RM3,000.

Antara jenama basikal yang dijual ialah FNHON, TRS, Brompton, Crossmax, KOSDA dan Raleigh.

Tambahnya, idea memulakan perniagaan ini bermula daripada bapanya, Azahari Rahman penggemar aktiviti riadah ini.

Selain itu, terdapat banyak koleksi lengkap basikal termasuk aksesori dan gear turut dijual.

Menurut Azhan, kebanyakan basikal lipat menggunakan sistem anjakan gear yang membolehkan ia lebih mudah ditunggang di kawasan bandar.

“Memandangkan reka bentuk mudah dilipat, kita tidak memerlukan ruang yang agak besar selain mudah dibawa ke mana-mana,” katanya lagi.

Ujar Azhan, pelanggan yang mahu memiliki basikal idaman pada harga dalam lingkungan RM1,600 dan ke atas.

“Ini kerana basikal pada harga tersebut tidak memerlukan tambahan kerana sudah dinaik taraf di kilang,” jelasnya.

Azhan juga mencadangkan basikal terutama yang menggunakan pedal kaki jenis plastik terutama pengguna yang sering memecut pada kelajuan yang tinggi.

“Sebaiknya, saya mencadangkan basikal menggunakan pedal kaki jenis getah yang lembut kerana mampu bertahan lama,” ujarnya.

Selain itu, Azhan memilih basikal yang perlu dipasang sendiri untuk mengurangkan risiko kerosakan.

MENINGKATKAN STAMINA

Sementara itu, Azhan mengakui aktiviti berbasikal banyak meningkatkan stamina dan mampu menurunkan berat badan.

Selain itu, aktiviti riadah ini juga mampu membina otot terutama bahagian paha, punggung dan betis.

Azhan turut berkongsi dua basikal lipat miliknya yang dipamer di depan kedai.

“Saya pernah ditawar oleh pelanggan untuk membeli basikal itu pada harga RM2,900,” katanya.

Program berbasikal dari Kuching ke Telok Melano yang bakal diadakan hujung bulan ini menyebabkan banyak permintaan daripada pelanggan.

“Ramai pelanggan menghantar basikal mereka ke kedai saya untuk diselenggara sebelum program itu berlangsung,” ujarnya.

Azhan berkongsi antara masalah yang sering berlaku pada basikal ialah kerosakan tiub, rantai dan sistem brek.

Pada masa yang sama, Azhan turut menasihati orang ramai agar memilih basikal mengikut kesesuaian masing-masing bukan berdasarkan tawaran yang diberi.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, sila lawati laman media sosial ‘Jojo Cycle’.

Suara Sarawak