KUCHING: Bekalan daging babi segar di negeri ini dijamin mencukupi untuk menampung keperluan Tahun Baru Cina (TBC) yang akan datang.

Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata kesemua bekalan itu adalah daripada kawasan pengeluaran daging babi utama iaitu di Kuching, Samarahan dan Serian.

“80 peratus daripada bekalan daging babi di negeri ini datang daripada kawasan yang masih bebas daripada Demam Babi Afrika (ASF),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) telah mengetatkan pergerakan kawalan babi hidup ke bahagian lain dengan piawaian tambahan.

Rundi berkata ia melibatkan beberapa Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan seperti permit pergerakan dikeluarkan hanya kepada ladang babi berlesen dengan kod ladang mereka.

“Permit pergerakan hendaklah disertakan dengan Sijil Kesihatan Veterinar,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pengangkutan yang digunakan juga harus dinyahjangkit selepas setiap penghantaran.

Beliau menambah babi juga akan ditanda dengan kod ladang atau tag telinga mereka untuk kebolehkesanan dan babi hanya boleh disembelih di rumah penyembelihan pihak berkuasa tempatan atau rumah penyembelihan berlesen daripada JPVS.

“JPVS akan mengukuhkan dan mengenakan langkah biosekuriti yang lebih baik untuk mencegah ASF daripada bertapak di kawasan pengeluaran babi wilayah selatan,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan penternak babi supaya meningkatkan biosekuriti ladang masing-masing dan melaporkan sebarang kelainan dalam kumpulan babi mereka kepada Pejabat Veterinar terdekat.

“Kepada orang ramai, saya memberi jaminan bahawa daging babi dalam pasaran telah disembelih di rumah penyembelihan dan selamat untuk dimakan,” katanya.

Suara Sarawak