Sabariah (dua kanan) dan Nordin (dua kiri) menunjukkan MoA yang ditandatangani bagi meneruskan kolaborasi projek tenunan songket di Penjara Puncak Borneo, hari ini sambil disaksikan oleh Juma’ani (tengah) dan yang lain.

KUCHING: Bengkel songket yang baharu akan dibangunkan di kawasan seluas 2.5 ekar di Penjara Puncak Borneo, di sini yang akan menjadi platform untuk para penghuni penjara berkenaan belajar dan menjadi penenun songket yang berkemahiran.

Projek itu dibangunkan oleh Kerajaan Sarawak melalui Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) dengan kerjasama Jabatan Penjara Sarawak, dengan pelaksanaan di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.

“Dengan kapasiti 100 rumah tenun di bengkel tenun baharu ini, ia dapat menghasilkan keluaran songket yang banyak serta berkualiti dan memberi peluang kepada penghuni penjara untuk mengaplikasikan kemahiran serta menjana pendapatan sendiri selepas menjalani penahanan dan pemulihan di Penjara Puncak Borneo,” kata OKSHE dalam kenyataan, hari ini.

Agensi yang turut sama berkolaborasi dalam projek itu adalah CENTEXS Commercial Services Sdn. Bhd. (CCS) yang akan mengkomersialkan dan mempromosikan produk-produk songket Sarapride di Galeri Songket dan Keringkam di Jalan Masjid.

Selain itu, pihak CCS akan mengembangkan penjualan melalui platform digital.

Juma’ani ketika melawat bengkel tenunan songket di Penjara Puncak Borneo, hari ini.

Bengkel songket baharu itu adalah susulan daripada Memorandum Perjanjian (MoA) yang ditandatangani antara Kerajaan Sarawak dan Jabatan Penjara Sarawak hari ini, sekaligus menjalinkan kolaborasi strategik di bawah Projek Warisan Old Kuching Smart Heritage – Penjara Puncak Borneo bagi meneruskan pelestarian warisan songket Melayu Sarawak agar tidak ditelan zaman.

MoA itu ditandatangani oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Prestasi Transformasi dan Penyampaian Perkhidmatan) yang mewakili Kerajaan Sarawak, Datuk Dr. Sabariah Putit dan Komisioner Jeneral Penjara Malaysia, Datuk Nordin Muhamad.

Upacara itu turut disaksikan oleh isteri Ketua Menteri selaku Penaung Projek Inovasi Warisan Sarawak: Songket dan Keringkam, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang.

Justeru, OKSHE berkata kerjasama melalui projek berkenaan diharapkan dapat melahirkan lebih ramai penenun yang berkemahiran tinggi dalam menghasilkan kain songket Sarawak, melahirkan penghuni mahir dan bersijil dalam bidang tenun.

Ia sekaligus dapat memartabatkan tenun asli Sarawak ke persada dunia melalui pengeluaran produk berskala besar, penjenamaan, pembungkusan dan pemasaran yang efektif dan dapat membentuk kerjasama pintar antara pengeluar, penyelidik, pemasar dan agensi kerajaan dalam menggalakkan industri tenun songket.

Kolaborasi bersama Jabatan Penjara Sarawak dan Penjara Puncak Borneo dalam penghasilan produk songket bermula setelah Juma’ani mengadakan kunjungan hormat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Istana Negara pada 26 Jun 2019.

Penjara Puncak Borneo merupakan penjara ketujuh kolaborasi bersama Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dalam pembangunan bengkel tenun.

Bengkel tenun Sarapride yang pertama di Penjara Puncak Borneo mempunyai 26 rumah tenun dan seramai 38 penenun telah menghasilkan 226 tenun songket dalam sepanjang bengkel tersebut beroperasi pada tahun 2020.

Ia hasil kerjasama Kerajaan Sarawak melalui OKSHE dan agensi lain seperti Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS), CENTEXS Commercial Services Sdn. Bhd., Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan komuniti songket Sarawak.

Suara Sarawak