Berebut, bergelut demi barangan terpakai

KUCHING: Menteri Muda Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Michael Tiang akan berbincang dengan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) mengenai pusat kitar semula yang terletak berhampiran Everise BDC, di sini.

Ia apabila pusat kitar semula itu menjadi tumpuan sebilangan individu untuk mengambil barangan terpakai yang masih elok, yang dibuang di situ.

Malah, mereka akan berebut dan menyerbu sebaik sahaja kenderaan orang yang hendak membuang barang di situ berhenti.

“Saya sendiri juga pernah mengalami keadaan seperti itu (diserbu).

“Saya akan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan mengenainya,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Tangkap layar menunjukkan sekumpulan individu bergelut untuk mendapatkan barangan terpakai yang dibuang di pusat kitar semula berhampiran Everise BDC.

Beliau berkata demikian bagi mengulas video yang tular hari ini, menunjukkan sekumpulan individu menyerbu sebuah kereta yang hendak membuang barangan terpakai di pusat kitar semula berkenaan.

Malah beberapa daripada mereka turut kelihatan bergelut bagi mendapatkan barangan tersebut.

Sementara, tinjauan ke pusat kitar semula itu hari ini juga mendapati kumpulan individu terbabit masih berada di situ.

Bahkan kelihatan mereka menyelongkar tong Rol-on Roll-off (RoRo) yang disediakan oleh Trienekens di situ, untuk mengambil pelbagai jenis barang yang dibuang.

Keberadaan mereka di situ bukan sahaja ketika siang tetapi juga pada waktu malam.

Malah, bilangan mereka hari ini kelihatan lebih ramai mungkin disebabkan banyak barang terpakai yang dibuang di situ memandangkan perayaan Tahun Baru Cina hampir tiba.

Kelihatan sekumpulan individu sedang menyelongkar tong RoRo yang disediakan oleh Trienekens di pusat kitar semula berhampiran Everise BDC.

Suara Sarawak