Bermula hanya RM100, kini menjana RM20,000 sebulan. Bisnes apa tu?

KOTA BHARU: Hanya bermodalkan wang simpanan RM100 untuk menjual ‘risoles,’ sejenis pastri yang popular di Indonesia, usahawan makanan ringan Hassmira Che Omar @ Che Hassan, 34, tidak menyangka perniagaannya kini mampu mencecah keuntungan lebih RM20,000 sebulan.

Siswazah Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan dan Perniagaan (Perdagangan) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu berkata idea untuk mengusahakan perniagaan tersebut tercetus apabila keluarganya sering menjadikan risoles sebagai makanan pilihan ketika meluangkan masa bersama-sama.

“Pada peringkat awal, saya hanya menjual secara kecil-kecilan kepada kenalan dan kawasan kejiranan di Banting, Selangor kerana makanan ini kurang dikenali ketika itu.

“Namun saya tidak menyangka lama-kelamaan ia mula mendapat sambutan ramai walaupun pada peringkat permulaan, produk ini agak asing dalam kalangan penduduk di sini,” katanya kepada pemberita hari ini sambil menambah beliau belajar cara membuat risoles daripada kakak iparnya, Evy Widiastuti, 40, yang berasal dari Indonesia.

Mengulas lanjut, ibu dua anak yang berasal dari Machang itu berkata penggunaan media sosial banyak membantu beliau untuk melonjakkan hasil jualan.

“Jika sebelum ini saya mampu menghasilkan sekitar 100 hingga 500 peket sahaja sebulan namun dengan strategi pemasaran yang dilakukan menerusi media sosial, pengeluaran produk semakin laju dan keuntungan yang diperoleh juga semakin meningkat.

“Saya berjaya menghasilkan 6,000 hingga 10,000 peket risoles sebulan untuk diedarkan di seluruh negara melalui pengedar dan ejen yang dilantik serta berjaya dipasarkan kepada 70 kedai di seluruh negara,” katanya yang mempunyai tujuh pekerja.

Hassmira, yang kini memiliki kilang sendiri di Jenjarom, Banting, Selangor bercadang mengembangkan lagi perniagaannya untuk memberi peluang pekerjaan kepada golongan memerlukan.

“Alhamdulillah, sokongan daripada agensi Kerajaan Negeri Selangor,Jabatan Pertanian dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) juga membuatkan perniagaan yang diusahakan kini mampu berkembang dengan lebih luas lagi,” katanya sambil menambah terdapat lima jenis risoles keluaran syarikat beliau iaitu berintikan ayam, daging, ayam keju, daging keju dan peperoni daging berkeju.  — BERNAMA

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak