KUCHING: Sebanyak 9,955 atau 77.7 peratus Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang memohon pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 7.0 telah ditolak oleh sistem perkomputeran.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia berikutan mereka didapati mengemukakan dokumen perniagaan yang tidak lengkap atau tidak tepat dan menyebabkan pembayaran tidak dapat dibuat.

“Maklumat yang dimasukkan adalah penting dan mesti betul kerana sekiranya salah, sistem komputer akan menolak secara automatik.

“Kebanyakan permohonan ditolak sebelum ini disebabkan oleh maklumat yang tidak tepat. Ini akan melambatkan proses pembayaran kepada mereka yang memerlukan bantuan daripada kerajaan.

“Banyak aduan diterima berhubung bantuan tidak diluluskan daripada rakyat, tetapi sebenarnya masalah berlaku disebabkan sistem ini berikutan maklumat yang diisi tidak lengkap dan tepat,” katanya pada Pelancaran BKSS 8.0 di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

Justeru, beliau menyeru orang ramai untuk merujuk kepada infografik dan video garis panduan penghantaran dokumen perniagaan di media sosial UKAS.

Mengulas lanjut, katanya Jawatankuasa Penilaian bagi bantuan ini telah mengenalpasti 22,110 PKS dan 24,322 Perusahaan Mikro milik usahawan Sarawak yang layak mendapat bantuan.

“Sehingga tarikh tutup pada Oktober tahun lepas, sebanyak 12,809 PKS telah menghantar dokumen namun 77 peratus didapati mengemukakan dokumen tidak lengkah dan telah ditolak oleh sistem komputer.

“Proses verifikasi sedang giat dijalankan dan sehingga Januari 2022 sejumlah RM20.6 juta telah disalurkan kepada PKS dan Perusahaan Mikro yang telah mengemukakan dokumen perniagaan yang lengkap,” tambahnya.

Suara Sarawak