Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap semasa sambutan Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini. (Foto: UKAS)

KUCHING: Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 8.0 yang melibatkan peruntukan RM285.47 juta bakal dilancarkan dalam waktu terdekat.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia juga melibatkan bantuan-bantuan bukan tunai untuk terus membantu mengurangkan beban rakyat.

“Bantuan BKSS 8.0 ini merangkumi enam bulan pertama 2022,” katanya semasa sambutan Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Menurutnya, BKSS adalah antara kadar bantuan terbesar oleh sesebuah kerajaan negeri di Malaysia.

“Ini tidak termasuk peruntukan khas berjumlah lebih RM91 juta kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bagi menampung kos menangani pandemik Covid-19 di negeri ini,” ujarnya.

“Sebagai ketua sebuah kerajaan yang sentiasa mementingkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat, kerajaan memahami beban dan kesulitan yang dihadapi rakyat sepanjang tempoh pandemik.

“Demi mengurangkan impak Covid-19, sepanjang 2020 dan 2021 Kerajaan Sarawak telah melaksanakan tujuh pakej bantuan kepada rakyat iaitu BKSS 1.0 hingga BKSS 7.0 dengan 30 program yang melibatkan perbelanjaan RM 5.3 bilion,” tambahnya.

Suara Sarawak