Abang Johari pada sidang media pelancaran BKSS 8.0 di Wisma Bapa Malaysia, di Kuching, hari ini.

KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM285.47 juta dalam pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 8.0 yang merangkumi tujuh langkah untuk tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bantuan tersebut merupakan komitmen kerajaan negeri dalam usaha memulihkan sosioekonomi serta meringankan beban rakyat seperti pakej-pakej BKSS sebelum ini.

“Yang pertama adalah pemberian diskaun lima hingga 25 peratus bil bulanan kepada 647,000 pengguna domestik, komersial dan industri melibatkan peruntukan RM166.8 juta.

“Seterusnya diskaun 10 hingga 25 peratus bil air bulanan pengguna domestik, komersial dan industri di seluruh negeri berjumlah RM24.0 juta,” katanya pada sidang media pengumuman BKSS 8.0 di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

Mengulas lanjut, bantuan ketiga katanya untuk 3,200 penyewa skim perumahan HDC dengan diskaun 50 peratus sewa yang diteruskan bagi bulan Januari hingga Jun 2022 melibatkan kos RM2.6 juta.

“Langkah keempat adalah Kerajaan Sarawak meneruskan pengecualian bayaran sewa kepada Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) yang beroperasi di premis-premis perniagaan milik Badan-Badan Berkanun dan syarikat-syarikat GLC negeri dengan kos sebanyak RM2 juta.

“Kerajaan juga memberikan diskaun 50 peratus sewa pasar dan gerai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk penjaja dan peniaga kecil dengan keseluruhan diskaun berjumlah RM1.7 juta,” ujarnya.

Tambahnya, bantuan tunai sekali sahaja sebanyak RM500 kepada 1,725 pengusaha penambang, pengendali van penumpang, pemandu teksi dan pengendali bas dan van sekolah di Sarawak.

“Dan terakhir sebanyak RM87.5 juta disediakan untuk geran khas berjumlah RM1,000 sekali beri kepada 87,500 penjaja dan peniaga kecil berdaftar dengan PBT,” jelasnya.

Tegasnya, Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha memastikan semua langkah yang telah diumumkan dalam pakej BKSS memberi manfaat kepada golongan sasar.

Suara Sarawak