BMC sediakan vaksin penggalak AstraZeneca

KUCHING: Borneo Medical Centre (BMC) menjadi satu-satunya hospital swasta yang menyediakan vaksin penggalak AstraZeneca bermula 6 sehingga 28 Januari ini kepada orang awam di Kuching.

Pengurus Operasi BMC, Melanie Kho berkata peruntukan yang disediakan oleh kerajaan dalam membekalkan vaksin penggalak AstraZeneca kepada BMC setakat ini mencukupi untuk menampung bilangan orang yang datang sehingga 28 Januari.

“Namun, hospital kami tidak menyediakan perkhidmatan ‘walk in’ kepada orang awam kerana dikhuatiri boleh menyebabkan kesesakan di kawasan hospital semasa proses tersebut dijalankan.

“Kami hanya akan memberikan vaksin penggalak kepada orang awam yang sudah mendapat janji temu sahaja melalui aplikasi MySejahtera,” katanya pada Suara Sarawak, hari ini.

Justeru, orang ramai yang ingin mendapatkan dos penggalak tetapi belum menerima notis dalam aplikasi MySejahtera boleh mengisi borang secara dalam talian untuk mendaftar terlebih dahulu.

Tambahnya, setelah membuat pendaftaran tersebut, mereka akan dipanggil melalui telefon untuk mendapatkan vaksin sekiranya terdapat janji temu yang dibatalkan atau penerima asal tidak menghadirkan diri.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan dos penggalak AstraZeneca di BMC boleh mendapatkan pautan Googleform di halaman Facebook BMC atau hubungi talian 082-507333.

Suara Sarawak