Bomba selamatkan lelaki warganegara Indonesia jatuh parit
Anggota bomba menyelamatkan lelaki warganegara Indonesia yang terjatuh dalam parit di belakang SK Kampung Jepak.

BINTULU: Seorang lelaki warganegara Indonesia ditemui tertiarap akibat terjatuh ke dalam parit dengan kedalaman anggaran tiga kaki di belakang SK Kampung Jepak, petang tadi.

Insiden menimpa mangsa disedari oleh orang awam yang menggunakan laluan yang sama ke arah jalan kebun itu sebelum menghubungi pasukan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk mendapatkan bantuan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataannya berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan pada jam 4 petang.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati mangsa masih tertiarap diatas permukaan tanah bawah parit.

“Mangsa mengadu telah lama tertiarap dan memberitahu mengalami kecederaan pada bahagian pinggang dan kebas pada anggota kaki kanan dan tangan kanan menyebabkan tidak mampu berdiri sendiri untuk berjalan,” ujarnya.

Menurut kenyataan itu lagi, operasi menyelamat dan mengalihkan mangsa turut dibantu oleh pihak Hospital Bintulu yang berada di lokasi seterusnya membawa mangsa ke Hospital.

“Mangsa telah dibawa naik dengan menggunakan pengusung dan telah diserahkan kepada pegawai perubatan untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Operasi ditamatkan pada jam 5.17 petang.

Suara Sarawak