Bot tunda dan tongkang membawa muatan berduti tanpa dokumen ditahan di satu batu nautika dari muara Bintulu

BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu menahan sebuah bot tunda berserta tongkang disyaki menggunakan dokumen yang telah tamat tempoh, semalam.

Bot tersebut ditahan pada jarak lebih kurang satu batu nautika dari muara Sungai Kemena Bintulu, sekitar jam 4.20 petang.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, penahanan dilakukan oleh Kapal Maritim (KM) Renggis semasa melaksanakan Operasi Permai dan Operasi Benteng di sekitar perairan Bintulu.

“Anggota telah mengesan sebuah bot tunda yang sedang menunda sebuah tongkang bermuatan disyaki pasir kuari di lokasi tersebut sekitar jam lebih kurang 4.05.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot tunda dan tongkang tersebut berlayar dari Kuching menuju ke Bintulu serta disyaki beroperasi tanpa menggunakan dokumen kebenaran membawa barang berduti dan borang perlepasan pelabuhan yang telah tamat tempoh.

“Terdapat muatan bercukai yang disyaki pasir kuari berjumlah lebih kurang 2800 metrik tan berada di atas tongkang semasa diperiksa.

“Empat kru bot tunda ditahan termasuk nakhoda terdiri dari seorang lelaki tempatan, masing- masing dua lelaki warganegara India dan seorang lelaki warganegara Indonesia,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut Mohd Khairol lagi, kesemua kru termasuk nakhoda berumur lingkungan 27 hingga 57 tahun mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap turut ditahan bagi membantu siasatan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu bagi siasatan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967 yang memperuntukan hukuman denda dan penjara jika disabitkan bersalah, tambahnya lagi.

Suara Sarawak