Cabaran dekati golongan muda

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) perlu melibatkan golongan muda dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang ekoran cabaran daripada pelaksanaan umur mengundi 18 tahun (Undi 18) dan pendaftaran pemilih secara automatik (AVR).

Presidennya Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, SUPP perlu bekerja keras kerana golongan muda ini akan menjadi penentu dalam PRU-15 yang akan datang.

“SUPP perlu bekerja dan berusaha lebih keras untuk mendekati golongan muda kerana golongan ini akan memberi cabaran memandangkan mereka bersifat tegas berbanding generasi yang lebih tua,” katanya.

Dengan pendekatan kepada golongan muda ini, Sim berkata bahawa (SUPP) akan memastikan akan ada lebih ramai ahli SUPP memegang jawatan menjadi Ahli Parlimen.  “Buat masa ini, hanya Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem (SUPP) yang mempunyai jawatan dan beliau kesepian di Parlimen.

“Justeru, kita (SUPP) mesti memastikan akan ada lebih ramai Ahli Parlimen SUPP agar Datuk Seri Richard Riot tidak sunyi dan tiada siapa boleh membuli Sarawak lagi,” katanya.  Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada persidangan perwakilan tahunan SUPP 2021 di Ibu Pejabat SUPP, di sini, pada Isnin.

Untuk mencapai matlamat dan tujuan ini, Sim yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, SUPP perlu bekerjasama, berdisiplin dan tidak mengulangi kesalahan pada masa lalu.

“Kita mengambil masa yang lama dari tahun 2006 untuk bangkit semula untuk hari ini dan jangan mengganggu jika kita sayang parti dan rakyat Sarawak, jika tidak anda adalah pengkhianat,” katanya.  Sementara itu, Dr Sim yang juga Adun Batu Kawah berkata SUPP juga mesti mula bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya pada tahun 2027 kerana beliau percaya akan lebih banyak kerusi baharu yang akan muncul.

“Namun pada pilihan raya 18 Disember lalu, ia jelas menunjukkan bahawa rakyat Sarawak secara tegas menolak parti berasaskan Semenanjung,” tambahnya lagi.

Sehubungan itu, Dr Sim menyeru pemimpin parti, ahli dan khususnya wakil rakyat supaya sentiasa turun padang bagi menangani isu yang dihadapi masyarakat kerana SUPP telah mengutamakan kebajikan dan kepentingan rakyat Sarawak atas segalanya sejak dirasmikan pada 1959.

Suara Sarawak