Cari individu layak daftar e-kasih

SARIKEI: Satu pasukan di setiap kawasan Dun Kuala Rajang akan digerakkan bagi mengenal pasti individu yang layak untuk didaftarkan ke dalam sistem e-kasih.

Menteri Muda Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datuk Len Talif Salleh berkata, inisiatif itu bertujuan untuk memaksimum pendaftaran golongan yang layak di kawasan N41 Kuala Rajang ke dalam pangkalan data sistem berkenaan.

Menurutnya, pendekatan itu juga bagi memastikan tiada penduduk tercicir selain memudahkan proses penyaluran bantuan kerajaan.

“Sukarelawan setiap kawasan yang terdiri dalam kalangan belia akan digerakkan bagi membantu mendapatkan maklumat penduduk layak menerima bantuan tersebut,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya, semalam.

Beliau yang juga Adun Kuala Rajang berkata, pasukan sukarela itu akan bekerjasama dengan pemimpin masyarakat di kawasan masing-masing bagi memastikan keberkesanan tugas tersebut.

Sebagai tindakan susulan katanya, setiap data yang diperoleh akan diproses oleh Pusat Khidmat Parti PBB N41 Kuala Rajang sebelum diserahkan kepada agensi kerajaan yang berkaitan.

“Saya memohon warga N41 Kuala Rajang memberi kerjasama kepada sukarelawan ini agar proses pengambilan data berjalan lancar. Pada masa yang sama, mereka juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

E-kasih merupakan satu sistem pangkalan data yang diwujudkan di peringkat nasional bagi membantu merancang, melaksana dan memantau program bantuan kerajaan.

Ia merupakan Bank Data Kemiskinan Nasional yang mengandungi maklumat mengenai kemiskinan bermula daripada profil individu, program dan bantuan yang diterima oleh Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR) daripada agensi pemberi bantuan sehinggalah kepada permohonan bantuan dan pemantauan keberkesanan program serta bantuan yang diterima.

Komponen data e-kasih terdiri daripada maklumat asas KIR dan AIR, maklumat lokasi, kediaman, pendidikan, kemahiran dan pekerjaan, pemilikan harta, kesihatan, pendapatan serta bantuan.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak