KUCHING: Seorang pemuda tempatan dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan mencekik leher bapanya kerana tidak puas hati apabila tidak diberikan kunci kereta.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap Ramlissari, 23, selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.

Mahkamah memutuskan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 20 Disember 2021.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang tidak bekerja itu didakwa mencederakan bapanya berusia 47 tahun dalam satu kejadian di kediaman mereka di Kampung Selipar Putus, sekitar jam 5.00 petang, 20 Disember lalu.

Oleh hal demikian, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabit bersalah.

Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian tertuduh meminta kunci kereta daripada mangsa.

Namun, mangsa enggan memberikan kunci kereta tersebut kepada tertuduh kerana tidak mempunyai lesen memandu.

Difahamkan, mangsa turut mengesyaki tertuduh terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak