KUCHING: Control Union (CU), peneraju global dalam Pensijilan Hutan akan menganjurkan webinar “Future-Proofing Sarawak Forestry through Sustainability” pada 15 Februari nanti.

Dengan kerjasama Jabatan Hutan Sarawak, FSC Malaysia, Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC), WWF-Malaysia dan Forum HR Malaysia, webinar itu bagi menyahut seruan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tentang keperluan untuk mengimbangi permintaan alam sekitar serta permintaan untuk ekonomi bergerak ke hadapan.

“Webinar ini bertujuan mengumpulkan semua pihak berkepentingan perhutanan yang berkaitan untuk mengkaji dan menganalisis cabaran utama yang dihadapi oleh sektor berkenaan dan cara untuk menanganinya.

“Selain itu, webinar ini juga untuk bertukar-tukar pandangan dan pengalaman tentang semua aspek hutan serta pensijilan berasaskan perhutanan yang boleh membawa kepada perumusan cadangan luas yang boleh digunakan di peringkat nasional dan serantau,” kata CU dalam kenyataan, semalam.

Kenyataan itu menambah program berkenaan turut memberi peluang untuk menghasilkan gambaran keseluruhan sektor, membezakan arah aliran, menyesuaikan dasar, mewujudkan kesedaran dalam pembuat keputusan dan mempengaruhi pendapat umum.

“Sejak sekian lama, sektor perhutanan dan industri perhutanan telah menjadi penyumbang mata wang asing yang penting bagi Sarawak.

“Bagaimanapun, kawasan hutan telah menurun pada kadar yang membimbangkan,” katanya.

Menurut Global Forest Watch (GFW) dari tahun 2001 hingga 2020, Malaysia kehilangan 8.39Mha litupan pokok, bersamaan dengan 29 peratus penurunan litupan pokok sejak tahun 2000 dan 4.82Gt pelepasan CO₂e.

Dalam tempoh berkenaan, Sarawak telah menyumbang kepada kehilangan penutup pokok yang paling banyak iaitu 3.04Mha.

Dengan itu, CU menyatakan pembuat dasar telah mengenal pasti keperluan untuk beralih ke arah pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Oleh itu, adalah penting untuk semua pihak berkepentingan diselaraskan dalam perjalanan ke hadapan untuk industri hutan Sarawak,” katanya.

Webinar tersebut akan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

CU menjangkakan jumlah peserta yang tinggi dan berharap agar forum berkenaan dapat mengukuhkan peranan hutan secara amnya serta dalam konteks isu alam sekitar, ekonomi dan sosial yang kritikal selain mengambil kira perkembangan dalam agenda pembangunan lestari global.

Suara Sarawak