PENGUSAHA kuih kapit Hee Swee Yen, 43, menyiapkan tempahan kuih kapit menjelang Tahun Baharu Cina tidak lama lagi. Katanya, setiap kali menjelangnya musim perayaan Tahun Baharu Cina beliau akan menyiapkan tempahan kuih kapit buat pelanggan kira-kira 100 buah tin (tin Milo besar).

DESAKAN hidup ketika di bangku sekolah memaksanya mencari peluang untuk menjana pendapatan biarpun tidak tahu selok-belok pembuatan kuih tradisional kuih kapit yang begitu sinonim dengan perayaan Tahun Baharu Cina.

Hee Swe Yen, 43, berkata penglibatannya bermula dalam pembuatan kuih kapit susulan memenuhi kehendak pihak sekolah yang mahu mendapatkan sumber kewangan bagi mengeluarkan majalah sekolah dan setiap kelas diminta membuat sesuatu bagi menjana pendapatan.

“Ketika berada di Tingkatan Lima di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) (Cina) Sacred Heart Balik Pulau, pihak sekolah ada keluarkan majalah sekolah dan meminta setiap kelas buat sesuatu untuk jana pendapatan (bagi keluaran majalah).

“Jadi, saya dan rakan sekelas ambil keputusan nak buat (menjual) kuih kapit.

Memang tak tahu apa-apa (buat kuih), tapi ibu rakan saya ajar kami buat sehinggalah saya mula fikir bahawa kuih kapit boleh jana pendapatan.

Itulah permulaan macam mana saya mula (jadi pengusaha kuih kapit) sampai sekarang,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kedai tong gas milik suaminya di Lebuh McNair di George Town baru-baru ini.

Katanya, setiap kali menjelangnya musim perayaan Tahun Baharu Cina, dia akan menyiapkan kira-kira 100 buah tin (tin Milo besar) tempahan kuih kapit buat pelanggannya.

Hee yang mula serius membuat kuih kapit pada 2006 turut mengupah ejen untuk memasarkan kuih kapit di sekitar Pulau Pinang namun disebabkan terdapat beberapa kekangan dia terpaksa berhenti buat kuih seketika, berkahwin dan berpindah ke George Town sekitar 2019.

“Pada tahun itu (2019), saya kembali buat kuih kapit selain membantu suami yang mengusahakan perniagaan tong gas.

Namun, disebabkan pandemik saya banyak buat tempahan pelanggan dari kedai sahaja, tidak melibatkan mana-mana ejen.

“Ketika itu saya mula tambah baik resipi dari segi penggunaan santan, telur dan lain-lain bahan bagi memastikan kualiti kuih kapit lebih terjamin.

Malah, pelanggan turut memberi respons yang positif hasil penambahbaikan resipi tersebut,” kata ibu kepada dua orang anak itu.

Menurut Hee, satu tin kuih kapit dijual dengan harga RM34, malah kuih kapit buatannya itu diminati semua pelanggan termasuk pelanggan berbangsa Melayu dan juga India.

“Kalau menjelang perayaan Hari Raya mahupun Deepavali, pelanggan Melayu dan India akan buat tempahan, namun saya tak ambil banyak (tempahan) kerana saya bekerja seorang diri selain tolong suami di kedai.

Tapi, sedikit sebanyak dapat tampung perbelanjaan harian, sudah cukup,” katanya yang berasal dari Balik Pulau.

Hee berkata, selain mengusahakan kuih kapit, dia turut membuat tempahan kuih tart nanas, kuih kacang, biskut Almond London dan lain-lain biskut berharga sekitar RM20 hingga RM28 sebekas.- Bernama

Suara Sarawak