MIRI: Warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara satu tahun dan denda sebanyak RM50.85 juta kerana memiliki 5,058 sisik tenggiling.

Mengesahkan perkara itu, Perbadanan Hutan Sarawak (SFC) berkata Hakim Mahkamah Sesyen Mohd Taufik Mohd @ Mohd Yusoff menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Agus Tallasi, 32, mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

“Dia didakwa mengikut Seksyen 29(2) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar, 1998 kerana memiliki 4.95 kilogram sisik tenggiling di Niah, Miri pada jam 2.15 petang 12 Januari lalu tanpa sebarang lesen atau kebenaran sah.

“Tertuduh akan dirujuk kepada Jabatan imigresen untuk dihantar pulang selepas menjalani hukuman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, SFC menyatakan penghargaan kepada orang ramai dan agensi penguatkuasaan lain atas sokongan berterusan dalam memerangi jenayah hidupan liar di Sarawak.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pihak yang menangkap, memburu, berniaga atau memelihara hidupan liar yang dilindungi boleh menghubungi talian hotline SFC di 019-8859996 (Kuching), 019-8883561 (Sibu), 019-8332737 (Bintulu), atau 019- 8290994 (Miri).

Suara Sarawak