Dua sahabat kantoi terlibat dadah

BAU: Gelagat mencurigakan dua orang lelaki membawa padah apabila ditahan polis disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Menurut Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintenden Poge Nyaon, suspek yang masing-masing berumur 19 dan 28 tahun tersebut ditahan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bau di Sekatan Jalan Raya (SJR) Bau-Serikin kira-kira jam 12.10 pagi hari ini.

Katanya, pemeriksaan terhadap tubuh badan kedua-dua suspek tidak menemui bahan dadah berbahaya.

“Namun kedua-dua suspek kemudiannya mengaku ada mengambil dadah berbahaya dan polis terus membawa mereka ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bau untuk saringan awal air kencing.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek disahkan positif dadah berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengulas lanjut Poge berkata, pemeriksaan tempat tersebut adalah rondaan rutin kerana terdapat aduan awam dipercayai adanya aktiviti penagihan dadah berbahaya yang harus dibenteras untuk mengelakan aktiviti ini berleluasa.

Jelas beliau, rondaan pada awalnya adalah dikawasan pasar Bau, kawasan Siniawan sempena Tahun Baharu untuk mengesan aktiviti yang tidak sihat dan membenteras aktiviti dadah dikalangan remaja di kawasan kampung.

Suara Sarawak