MUKAH: Dua lelaki warganegara Indonesia ditahan oleh pihak polis kerana terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah, semalam.

Kedua-dua suspek yang bekerja sebagai nelayan itu ditangkap dalam satu serbuan di sebuah rumah kongsi pekerja dan mengaku mengambil bahan terlarang tersebut sejak penghujung tahun 2021 sehingga kini.

Bagaimanapun berdasarkan ujian saringan air kencing, suspek pertama berusia 45 tahun didapati negatif, manakala suspek kedua berusia 42 tahun positif dadah jenis Amphetamine.

TERLIBAT DADAH… Kedua-dua suspek ditahan polis di sebuah rumah kongsi pekerja kerana terlibat penyalahgunaan dadah.

Menurut Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superitenden Muhamad Rizal Alias, serbuan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah itu menemui dua paket plastik lutsinar masing-masing berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine seberat 5.60 gram di atas lantai bilik suspek pertama.

“Sementara serbuan ke atas suspek kedua tidak menjumpai apa-apa barang terlarang dan suspek mendedahkan mendapatkan bekalan dadah di kawasan Pasar Lama Mukah,” katanya dalam satu kenyataan.

Kedua-dua suspek ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 IPD Mukah.

Suspek pertama turut ditahan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala suspek kedua ditahan dan di siasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suara Sarawak