RAMPAS…Pemangku Pengarah JKDM Sarawak Mohd Nadzri Ariffin menunjukkan dadah yang dirampas. – foto Ramidi Subari

KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menumpaskan aktiviti pengedaran dadah yang berselindung di sebalik perkhidmatan bas ekspres antara bandar di sini.

Pemangku Pengarah JKDM Sarawak Mohd Nadzri Ariffin berkata, Cawangan Narkotik JKDM Kuching berjaya merampas merampas kira-kira 1.115 kilogram dadah disyaki Methampetamine hasil penahanan seorang lelaki warga tempatan berumur 30-an dalam serbuan di luar perkarangan terminal bas, di sini kira-kira jam 2.15 petang, 10 Januari lalu.

Menurutnya, suspek pada ketika itu berada di terminal bas berkenaan untuk menuntut dadah yang disimpan dalam sebuah bungkusan.

Katanya, semakan awal mendapati bungkusan tersebut telah dihantar dari Miri menggunakan perkhidmatan bas ekspres antara bandar.

Tambahnya, suspek juga disyaki sudah beberapa kali membuat tuntutan bungkusan melalui perkhidmatan bas ekspres antara bandar.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas bungkusan berkenaan telah membawa kepada penemuan sejumlah 358 paket lutsinar yang mengandungi serbuk kristal dipercayai dadah jenis Methamphetamine.

“Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM47,500,” katanya pada sidang media di Wisma JKDM Sarawak, di sini hari ini.

Mohd Nadzri berkata, bekalan dadah tersebut  dipercayai untuk pasaran sekitar Kuching dan Samarahan.

Selain itu, katanya, turut dirampas adalah wang tunai berjumlah RM540 dan juga sebuah kenderaan yang dianggarkan bernilai RM70,000.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan nilai rampasan adalah dianggarkan sebanyak RM117,500.

Mengulas lanjut, Mohd Nadzri berkata modus operandi sindiket menggunakan perkhidmatan kargo bas antara bandar untuk mengedar dadah masuk ke bandar raya ini.

“Dadah dibungkus menggunakan paket berkuantiti kecil dipercayai untuk memudahkan bekalan disalurkan kepada pembeli,” jelasnya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, iaitu kesalahan mengedar dadah berbahaya di mana jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum gantung sampai mati di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.

Suara Sarawak