Epoi sedia tawan dunia

SARATOK: Giatmara Saratok terus melahirkan jagoan bertaraf dunia apabila seorang lagi pelatihnya dipilih untuk menggalas cabaran negara bagi menyertai Pertandingan Kemahiran Sedunia (WSC) 2022 di negara Tembok Besar (China) pada 12 hingga 17 Oktober depan.

Benarlah kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Muhammad Saifuddin Raslan akan mewakili negara ke WSC 2022 Shanghai dalam bidang mengecat dan menghias (Painting and Decorating).

Pelantikan anak pasangan Allahyarham Raslan Amat dan Rahmah Wan Jafar itu disahkan melalui sepucuk surat Kementerian Kerja Raya Malaysia bertarikh 15 Disember kepada Giatmara Saratok.

EPOI… Muhammad Saifuddin Raslan.

Ketika ditemui Suara Sarawak, anak jati Saratok-Debak itu menyatakan akan memberikan komitmen penuh bermula hari ini. “Hari ini (semalam) merupakan hari pertama saya memulakan latihan.

Bermakna saya mempunyai baki 270 hari yang harus saya manfaatkan untuk bekalan ke negara China. “Saya diwajibkan menjalani latihan intensif mengikut jadual dan masa yang ditetapkan sehingga 30 September depan.

“Ia akan diatur oleh jurulatih daripada agensi, institut dan pasukan pakar negara. “Besar harapan saya agar dapat melakukan yang terbaik dengan sempurna demi menghadiahkan emas kepada tanah air bernama Malaysia. Insya-Allah,” katanya yang mesra dipanggil Epoi.

Walaupun gembira, katanya pertandingan peringkat dunia ini merupakan tugas berat yang harus digalas dengan sebaik mungkin. Epoi yang berusia 23 tahun sebelum berjaya dipilih untuk mewakili negara berpengalaman dalam beberapa siri pertandingan. “Saya bermula menimba ilmu di Giatmara Saratok pada 2017.

“Selepas itu, mengikuti Pra WSC Sarawak pada tahun yang sama. “Kemudian Pra-WSC Belia 2018 (berjaya ke peringkat akhir), seterusnya Pra-WSC Sarawak 2019 yang mana saya telah ke peringkat akhir dan membolot anugerah emas dalam bidang yang digemarinya.

“Pada 2019 juga saya menyertai Pra WSC Belia 2019 (pingat gangsa) dan selepas itu saya dilantik sebagai wakil negara ke WSC 2021 Shanghai, namun terpaksa ditangguh kerana pandemik Covid-19.

TEKUN… Epoi ketika menyiapkan tugasan pada pertandingan kemahiran yang disertainya.

“Alhamdulillah tahun ini masih diberikan peluang untuk meneruskan perjuangan. “Saya amat berterima kasih kepada Pengurus Giatmara Saratok Abadi Hussein dan penghargaan tidak terhingga kepada tenaga pengajar Mohamad Hafizh Abdul Latif yang mencungkil bakat saya sehingga ke tahap ini,” ujarnya.

Epoi merupakan anak sulung yang bercita-cita untuk menjadi pereka dalaman sesuai hobinya yang suka melukis. Bakat muda dalam pembikinan Sementara bagi Abadi, pemilihan Epoi pada WSC membuktikan kecemerlangan Giatmara Saratok dalam melahirkan anak kampung yang hebat.

“Sebelum ini Giatrama Saratok mempunyai tiga pelatih yang berjaya sampai ke peringkat dunia (WSC). Ia merupakan pertandingan peringkat tertinggi dalam bidang kemahiran.

“Pertama pada 2009 di Calgary, Kanada melalui Saiful Junaidi yang bertanding dalam bidang bricklaying (kerja batu bata).

“Kedua, Mimi Faizura Shamsudin yang bertanding pada WSC di Sao Paulo, Brazil pada 2015 dalam bidang teknologi fesyen.

“Ketiga ialah Hanafi Osman, anak jati Kampung Kupang yang menyertai WSC di Kazan, Rusia pada 2019 juga dalam bidang teknologi fesyen.

“Tahun ini seorang lagi wakil yang berjaya kita lahirkan iaitu Epoi – menariknya, ini merupakan penyertaan pertama Giatmara Saratok dalam bidang Painting and Decorating.

“Marilah bersama-sama kita berdoa agar ada kejayaan di negara Tembok Besar pada Oktober nanti,” jelasnya. Beliau menambah pada pertengahan Januari ini, terdapat seorang lagi pelatih Giatmara Saratok akan bertanding untuk pemilihan mewakili Malaysia, juga dalam pertandingan sama di Shanghai kelak.

“Peserta seorang ini dalam bidang kerja batu bata. “Seandainya terpilih, bermakna dua pelatih Giatmara Saratok akan mewakili Malaysia kelak,” katanya.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak