Fasa 4 PPN: Sarawak mula terima pelajar mulai 10 Januari ini

KUCHING: Pengoperasian institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Sarawak yang mengikut ketetapan pengoperasian Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan bermula 10 Januari ini.

KPM menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pengoperasian tersebut merujuk kepada institusi pendidikan di bawah KPM bagi Sesi Persekolahan Penggal 3, 2021/2022 di negeri Kelantan dan Sarawak yang akan beralih ke fasa 4 PPN berkuat kuasa pada 3 Januari ini.

“Pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM akan bermula pada 9 Januari bagi negeri Kelantan dan pada 10 Januari bagi negeri Sarawak,” katanya.

Tambah KPM, pengoperasian dan kehadiran murid adalah mengikut ketetapan setelah mengambil kira kesediaan institusi pendidikan di Kelantan dan Sarawak untuk memulakan pengoperasian mengikut tarikh pembukaan sekolah tersebut.

Bagaimanapun katanya, bagi institusi pendidikan di negeri Kelantan dan Sarawak yang terlibat dengan banjir atau dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), KPM akan mengeluarkan maklumat lanjut mengenai pengoperasian institusi terlibat pada 3 Januari 2022, setelah mengambil kira kesediaan untuk beroperasi.

KPM juga menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan di bawah kerajaan negeri.

Terdahulu, KPM mendedahkan murid berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), prasekolah, Tahun 1, 2 dan 6 serta semua murid bawah program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) hadir tanpa penggiliran.

“Manakala murid tahun 3, 4 dan 5 pula perlu hadir ke sekolah secara penggiliran yang mana ketetapan ini turut terpakai kepada murid sekolah swasta dan antarabangsa yang setara dengan sekolah rendah KPM.

“Kehadiran bagi murid Tingkatan 1, 2 dan 3 adalah secara penggiliran dan semua ketetapan itu terpakai kepada murid sekolah swasta dan antarabangsa yang setara dengan sekolah menengah KPM,” ujarnya.

Tambah KPM, bagi sekolah yang enrolmen kurang daripada 300 murid, seperti sekolah harian, swasta termasuk sekolah ekspatriat, mereka boleh beroperasi sepenuhnya dengan kehadiran secara bersemuka tanpa penggiliran.

“Namun bagi sekolah ekspatriat yang enrolmen melebihi 300 murid, permohonan boleh dikemukakan kepada KPM untuk beroperasi sepenuhnya yang akan dinilai dahulu oleh KPM sebelum kelulusan diberikan.

“Pengoperasian Kolej Vokasional bagi murid Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Kemahiran Malaysia, Sistem Latihan Dual Nasional dan Diploma Vokasional Malaysia pula adalah secara bersemuka tanpa penggiliran mulai 9 Januari 2022,” katanya.

KPM berkata, bagi pengoperasian kolej matrikulasi (KM), pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka akan bermula pada 9 Januari 2022 untuk Program Matrikulasi Sistem Dua Semester dan Program Matrikulasi Sistem Empat Semester.

“Bagi Institut Pendidikan Guru (IPG) pula, semua program pengajian akan memulakan kuliah secara bersemuka mulai 6 Februari 2022, mengikut kalendar akademik yang sedang berkuat kuasa dan Murid KM juga IPG yang telah menerima vaksin lengkap sahaja dibenarkan kembali ke kolej atau kampus,” katanya.

Suara Sarawak