Gagal seludup 6,000 liter diesel

SIBU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Kem Lanang menggagalkan cubaan menyeludup kira-kira 6,000 liter diesel di sebuah jeti awam di Jalan Ding Lik Kong, Sungai Merah pada jam 2.30 petang semalam.

Pegawai Memerintah PGA Kem Lanang Superintendan Mohammad Hafiz Kadir berkata, kejayaan Op Kontraban itu turut merampas diesel yang dianggarkan bernilai RM18,000 serta menyita sebuah kapal dan lori tangki.

Selain itu, katanya pasukan serbuan turut menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 27 hingga 37 tahun bagi membantu siasatan, setelah gagal memgemukakan dokumen sah pemilikan dan transaksi pemindahan diesel itu.

“Semasa serbuan, ketiga-tiga suspek sedang leka memindahkan diesel dari sebuah lori tangki ke dalam tong simpanan di dalam kapal muatan yang berlabuh di kawasan jeti berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata diesel itu telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Sibu untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Anggota PGA Kem Lanang semasa melakukan rampasan diesel seludup di sebuah jeti awam di Jalan Ding Lik Kong, Sungai Merah semalam.

Suara Sarawak