SARIKEI: Gangguan bekalan air yang berlaku di beberapa kawasan di Bahagian Sarikei bermula hari ini berpunca daripada kebocoran paip utama akibat kerja-kerja pembinaan Jalan Pan Borneo.

Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dalam satu kenyataan memberitahu, gangguan menjejaskan kira-kira 4,000 isi rumah.

Agensi itu turut  menggesa pihak kontraktor Pan Borneo untuk menyiapkan kerja-kerja tersebut dengan segera pada
bagi mengurangkan impak besar gangguan bekalan air kepada para pengguna.

“Kawasan-kawasan yang terjejas adalah kawasan Jalan KJD Meradong, Skim B, seluruh kawasan Pakan (kecuali Pekan Pakan), sepanjang Jalan Bulat dari Sg. Rusa sehingga Sungai. Joh, Kesa Baron, Kesa, Jalan Onn Dian, Sungai. Garan, Jalan Friendship, Jalan Cola dan Simpang Pakan.

“Manakala kawasan-kawasan yang tiada dalam senarai dijangka mengalami tekanan air rendah. Pihak kami berasa kesal di atas segala kesulitan yang timbul dan amat menghargai kesabaran yang tinggi daripada para pengguna,” katanya.

Sehubungan itu, perkembangan terkini akan dimaklumkan kepada pengguna melalui platform sosial media JBALB Sarawak.

Pengguna juga boleh menghubungi JBALB Call Centre di talian 082- 262211 untuk mendapatkan maklumat dan informasi terkini.

Kebocoran paip utama akibat kerja-kerja pembinaan Jalan Pan Borneo.

Suara Sarawak