KOTA SAMARAHAN: Memanfaatkan cuti sempena Tahun Baru 2022, kejiranan Kampung Mang di sini berganding bahu mengadakan program gotong-royong Perdana pagi tadi.

Tinjauan Suara Sarawak di kampung ini mendapati, cuti tersebut digunakan oleh orang kampung bagi memastikan matlamat utama kampung iaitu tahap kebersihan sentiasa dalam keadaan terbaik.

Program yang bermula pada jam 7 pagi itu disertai oleh penghuni kampung tersebut bagi membersihkan dan menceriakan kawasan zon masing-masing sekali gus melahirkan komuniti yang sihat.

Menemubual salah seorang penduduk kampung Mang Habibah Bujang, selain memastikan kebersihan menjadi tujuan utama, program tersebut juga dapat merapatkan lagi hubungan silaturahim antara penduduk kampung.

Katanya, program pagi ini adalah untuk membersihkan kawasan rumah, memastikan tiada sampah, rumput telah dipotong di sepanjang jalan dalam kampung dan memastikan kawasan membuang sampah bersih.

“Aspek kebersihan, kesihatan dan keceriaan sesebuah kawasan tidak boleh dipandang ringan kerana ia mencerminkan keperibadian sesebuah kampung itu dan memberikan pandangan positif masyarakat luar kepada imej kampung,” katanya.

Suara Sarawak