Guru wanita rugi RM118,000 diperdaya Macau Scam

SIBU: Seorang guru wanita sanggup berhutang serta menggadaikan barang kemasnya gara-gara terpedaya dengan sindiket ‘Macau Scam’, menyebabkannya kerugian sebanyak RM118,000.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu Superintendan Collin Babat berkata mangsa berusia 58 tahun itu telah dihubungi pada 28 Oktober 2021 oleh suspek yang memperkenalkan dirinya sebagai wakil sebuah syarikat insurans.

Katanya suspek memberitahu mangsa pernah membuat tuntutan insurans sebanyak empat kali sebelum menyambungkan taliannya kepada seorang polis kononnya berpangkat Inspektor dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman yang memaklumkan bahawa dia terlibat dengan pengubahan wang haram sebanyak RM1.8 juta.

Selepas itu, katanya mangsa kemudian dihubungi oleh seseorang yang memperkenalkan diri sebagai peguam dan menawarkan khidmat untuk menyelesaikan masalahnya itu.

Menjelas lanjut, Collin berkata mangsa kemudian dinasihatkan untuk membuka satu akaun bank baharu dan seterusnya diminta untuk menyerahkan gambar kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan nombor pin kepada suspek pada 7 November 2021.

“Disebabkan bimbang dan panik, mangsa mengikut kesemua arahan dengan membuat pinjaman bank berjumlah RM75,000 yang telah diluluskan pada 15 November dan memindahkan wang ke akaun bank baharunya itu.

“Dua hari kemudian, mangsa juga telah membuat satu lagi pemindahan wang berjumlah RM27,000 yang dipinjamnya dari sebuah bank dan menggadaikan barang kemas miliknya bernilai RM20,000 dan seterusnya memindahkan RM16,000 ke akaun bank berkenaan pada 16 November 2021.

“Mangsa diarahkan untuk tidak memaklumkan kepada sesiapa dan membuang semua dokumen transaksi sehinggalah beliau menceritakan perkara itu kepada suaminya. Ketika itu barulah mangsa sedar bahawa dirinya telah ditipu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Collin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak