KAJIAN… Dr Elena akan membuat penyelidikan Penilaian
Warisan Masyarakat Punan di Sarawak: Pemetaan Klirieng.

KLIRIENG mungkin satu perkataan asing bagi kebanyakan rakyat Malaysia.

Namun ia merupakan salah satu warisan berharga bagi Sarawak kerana mempunyai cerita, sejarah serta budaya tersendiri. Klirieng atau Kelirieng, tiang pengebumian salah satu warisan ketara yang paling menonjol bagi orang Punan, sebuah kumpulan sub etnik masyarakat Orang Ulu.

Pada masa ini, ia sering dipamerkan di muzium dengan kebanyakan orang menyangkanya satu perhiasan yang berasal dari Sarawak.

Sebenarnya ia merupakan sebatang kayu yang diukir bagi tujuan pengebumian golongan bangsawan.

Lazimnya ukiran ini mengambil masa antara satu hingga tiga bulan untuk disiapkan bergantung kepada saiz batang kayu dan apabila siap diukir, ia akan didirikan secara menegak, Malah hamba perempuan atau lelaki kepada bangsawan yang meninggal dunia akan ditanam bersama-sama klirieng sebagai satu lambang pengorbanan.

Kini amalan Klirieng sebagai satu tempat pengebumian ini sudah tidak diamalkan kerana arus kemodenan serta kebanyakan masyarakat mempunyai agama masing-masing.

Dalam usaha memetakan dan menilai keadaan semua Klirieng kaum Punan di Belaga dan Kapit, satu penyelidikan akan dijalankan oleh Pensyarah Kanan Antropologi dan Sosiologi Unimas Dr Elena Chai.

Projek yang dinamakan Penilaian Warisan Masyarakat Punan di Sarawak: Pemetaan Klirieng yang juga akan mewujudkan inventori perhubungan antara setiap klirieng dengan waris (komuniti) itu mendapat pembiayaan sebanyak RM50,000 daripada The Sarawak Initiatives (TSI).

Menurut TSI, ia juga bagi menyokong usaha Dr Elena Chai mendokumentasikan proses terperinci menoleang atau ritual kematian dan memahami motif dan reka bentuk klirieng berdasarkan kepercayaan dan tafsir mimpi.

“Penemuan dalam kajian ini berharap dapat mewujudkan kesedaran yang kukuh mengenai warisan Punan Sarawak. Keadaan Klirieng itu akan membolehkan Kerajaan Negeri dan kementerian berkaitan mempercepatkan usaha pemuliharaan.

“Malah dokumentasi ini akan membantu kerajaan, pihak berkepentingan khususnya, masyarakat Punan dan generasi mudanya, untuk mempercepatkan kadar perlindungan dan perlindungan warisan ketara dan tidak ketara yang kaya,” kata TSI.

Katanya, kajian tersebut juga akan menggunakan kaedah kerja lapangan etnografi dengan mengesan semua klirieng yang diketahui dan tidak diketahui di bahagian Kapit dan Bintulu.

“Semua klirieng akan dipetakan untuk mendapatkan lokasi yang tepat. Manakala keluarga dan komuniti yang berkaitan akan ditemu bual.

Ketua masyarakat Punan juga akan dirujuk untuk mengetahui aspirasi mereka mengenai pemuliharaan warisan ketara mereka,” ujarnya.

Penyelidikan tersebut meliputi 28 tapak di bahagian Kapit dan Bintulu dengan mengenal pasti motif dan reka bentuk setiap Klirieng menggunakan kamera dan dron.

Sementara lakaran imej tersebut akan dipersembahkan kepada masyarakat dan pemimpin untuk mendapatkan makna dan kepercayaan disebaliknya.

Motif dan reka bentuk sebahagian daripada sistem kepercayaan Punan dan dokumentasinya akan membantu melindungi bahagian penting warisan tidak ketara Punan.

Kerjasama TSI dan Unimas tercetus semasa Elena menyampaikan ceramah dalam program kepimpinan persatuan itu tahun lepas bahawa terdapat keperluan untuk penyelidikan tersebut kerana pusaka itu akan musnah oleh ancaman alam semula jadi jika tidak dijalankan segera.

Justeru dengan kumpulan data yang komprehensif, diharap kajian itu akan mewujudkan kesedaran tentang kepentingan warisan dalam kalangan Punan dan etnik minoriti lain.

Untuk rekod, pada 8 Oktober tahun lalu terdapat dua batang Klirieng, masing-masing berukuran 22 kaki dan 18 kaki, ditemui di dalam dan tepi sungai Penyarai oleh penduduk kampung Rh Sengaya dipercayai hanyut dari hulu sungai akibat hujan lebat berterusan.

Kedua-dua tiang kubur itu telah patah dan tidak dapat digerakkan kerana saiz dan beratnya yang besar.

Suara Sarawak