Ibu bapa tidak risau hantar anak ke sekolah

MIRI: Ibu bapa tidak begitu bimbang menghantar anak-anak ke sekolah yang bermula Isnin.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Anchi Miri, Sapri Paee berkata, murid-murid teruja, manakala guru-guru juga tidak sabar meneruskan segi persekolahan bersemuka.

“Bagi ibu bapa yang masih takut menghantar anak ke sekolah kerana Covid-19, KPM telah menyediakan SOP yang sewajarnya untuk sekolah mengurus dan menjaga keselamatan murid-murid,” katanya kepada Suara Sarawak.

Sapri berkata guru-guru juga telah diberi taklimat penjagaan SOP membabitkan murid-murid, malah taklimat juga diberikan kepada ibu bapa iaitu dua hari sebelum sesi persekolahan.

“Kita tidak boleh memaksa ibu bapa menghantar anak ke sekolah atas tujuan keselamatan, namun mereka juga perlu menjaga SOP tidak membawa anak-anak ke tempat awam sekiranya benarbenar takut dengan Covid-19,” jelasnya.

Tambah Sapri, SK Anchi mempunyai peraturan yang telah ditetapkan dan jika ibu bapa tidak menghantar anak ke sekolah, maka mereka perlu menulis surat untuk direkodkan dalam sistem KPM.

Sesi persekolahan dibuka semula semalam bagi sesi penggal ketiga 2021/2022 berikutan Sarawak memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN). Sapri mengucapkan penghargaan kepada guru-guru dan ibu bapa yang komited untuk memastikan anak-anak datang ke sekolah dengan semangat yang baharu.

“Kita seronok melihat wajah ceria murid-murid yang datang ke sekolah. Mereka mematuhi peraturan masuk ke sekolah dengan mengikut SOP dan memakai pelitup muka,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, ibu bapa lebih memilih sesi persekolahan bersemuka daripada Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) kerana kaedah itu lebih sesuai. “Fokus kita pada penggal ketiga ini adalah untuk pemulihan pelajar terutama pelajar lemah dalam mata pelajaran dan sebab itu ibu bapa komited menghantar anak mereka ke sekolah,” jelasnya.

Sapri juga berharap agar bangunan baharu yang telah siap sepenuhnya dapat digunakan pada tahun ini untuk kegunaan pelajar tahun 4, 5 dan 6. Setakat ini bangunan berkenaan masih dalam pemantauan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan belum mendapat sijil kelulusan untuk digunakan.

Suara Sarawak