Ibu negara baharu Indonesia dinamakan N _ _ _ _ _ _ _

JAKARTA: Ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan Timur diberi nama Nusantara, kata Menteri Perancangan Pembangunan Nasional Suharso Monoarfa semasa mesyuarat bersama jawatankuasa kerja bagi rang undang-undang ibu negara baharu itu di Parlimen semalam.

Beliau berkata Presiden Joko Widodo, yang lebih dikenali sebagai Jokowi, mengesahkan nama itu pada Jumaat, 14 Jan.

Ibu negara baharu itu adalah antara projek pembangunan infrastruktur yang menjadi keutamaan Jokowi di Indonesia sebagai pemangkin untuk membuka potensi ekonomi keseluruhan, menggalakkan pertumbuhan, mewujudkan pekerjaan dan mengurangkan kemiskinan.

“Saya percaya semua orang akan bersetuju dengan nama Nusantara,” kata Suharso.

Menteri itu berkata Nusantara adalah istilah lama Jawa, yang bermaksud “pulau luar”, ia ikonik di peringkat antarabangsa dan dikenali secara meluas oleh masyarakat global sebagai Republik Indonesia.

Indonesia memperuntukkan US$35.8 juta (US$1=RM4.18) dalam bajet negeri 2022 untuk pembinaan ibu negara baharu itu. Keseluruhan projek itu menelan kos US$35 bilion.

Pembinaan zikal sebenar akan dimulakan tahun ini setelah rang undang-undang ibu negara itu diluluskan oleh parlimen.

Pada 9 Sept tahun lalu, Jokowi menandatangani Peraturan Presiden No. 85 Tahun 2021 mengenai Rancangan Kerja Kerajaan bagi 2022, yang merangkumi lapan langkah strategik untuk mempercepatkan transformasi Kalimantan, termasuk pembinaan ibu negara baharu yang lengkap dengan infrastruktur sokongan.

Ia termasuk mempercepat realisasi pelaburan, mengoptimum pembangunan komoditi dan meningkatkan jaminan undang-undang mengenai pemilikan tanah dengan mengeluarkan sijil pemilikan tanah. – BERNAMA

Suara Sarawak