BINTULU: Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kes tipu penghantaran wang ke negara China melibatkan mangsa warganegara China, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Zulkifli Suhaili berkata pasukan itu ditubuhkan sejurus pihak polis menerima laporan berkenaan.

“Selepas laporan diterima, kami membuka satu kertas siasatan serta menubuhkan satu pasukan khas untuk menjalankan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, petang tadi.

SUPERINTENDEN ZULKIPLI SUHAILI…

Menurut beliau, setakat ini, pihak polis telah menerima sebanyak 12 laporan oleh mangsa warganegara China membabitkan kerugian berjumlah RM741,214.00.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Kejadian bermula pada 11 Julai 2021 iaitu mangsa bersama-sama 27 orang rakan sekerja yang juga warganegara China telah meminta bantuan seorang rakan sekerja mereka juga warganegara China untuk menghantar wang gaji mereka ke akaun keluarga mereka di China.

Semakan telah dibuat oleh kesemua mangsa dan mendapati wang tersebut tidak sampai kepada keluarga mereka di Negara China

Justeru, katanya, satu laporan polis telah dibuat oleh seorang lelaki warganegara China yang merupakan pekerja di sebuah kilang di Samalaju, di sini, pada 10 Disember lalu mewakili 27 mangsa yang terlibat.

Dalam pada itu, Zulkipli menasihatkan mereka yang belum membuat laporan polis untuk tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

Suara Sarawak