KUCHING: Isi rumah berpendapatan di bawah RM1,169 sebulan di negeri ini disaran memohon bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia susulan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) atau faktor yang layak membolehkan seseorang memohon bantuan kebajikan telah dinaikkan mulai Januari tahun ini.

“PGK yang digunakan untuk bantuan JKM yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan termasuk kelayakan PGK telah dinaikkan kepada RM1,169.

“Justeru, kita minta agar rakyat Sarawak yang disenaraikan sebagai golongan sasar yang mempunyai pendapatan kurang daripada PGK tersebut boleh memohon bantuan JKM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan sempena Majlis Sejambak Kasih Tahun Baru Cina 2022, di Heng Hua Seng Ing Tong di sini, hari ini.

Tambahnya, dahulu PGK yang digunakan lebih rendah iaitu RM1,020 sebulan dan sekarang ia sudah dinaikkan kepada RM1,169 sebulan.

“Ini bermakna apabila PGK dinaikkan lebih ramai orang yang layak, mungkin dahulu mereka tidak layak disebabkan pendapatan isi rumah lebih daripada RM1,020,” ujarnya.

Datuk Seri Fatimah Abdullah ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan sempena Majlis Sejambak Kasih Tahun Baru Cina 2022, di Heng Hua Seng Ing Tong di sini, hari ini.

Suara Sarawak