Jenazah diangkat 11 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Semenggo untuk disemadikan

KUCHING: Jenazah Mantan Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang kira-kira jam 2.13 petang tadi.

Jenazah yang tiba di tanah perkuburan pada jam 1.50 petang itu turut diiringi Yang Di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Jenazah sebelum itu disolatkan di Masjid Jamek, Petra Jaya, hari ini.

Sejurus tiba di tanah perkuburan, keranda kemudian diturunkan daripada van dan diusung oleh 11 anggota Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Semenggo.

Bagi meneruskan adat pengebumian, talkin turut dibaca oleh Imam Besar Negeri, Datuk Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.

Urusan pengebumian selesai kira-kira jam 3 petang dengan pematuhan prosedur operasi standard yang ketat.

Suara Sarawak