JKM siap siaga bantu mangsa banjir

KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) siap siaga untuk memberi bantuan kepada kawasan yang berkemungkinan mengalami banjir kelak.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKWP), Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata pelbagai persiapan sudah dirancang untuk membantu orang awam yang terjejas akibat bencana tersebut.

“JKM mempunyai depot simpanan yang terletak di Samarahan dengan kapasiti muatan sebanyak 432 tan untuk menyimpan pelbagai barangan keperluan bagi membantu mangsa yang berdepan dengan bencana alam seperti banjir, ribut, kemarau dan lain-lain.

“Selain itu, mini depot juga disediakan di kawasan lain seperti Miri dan Kuching untuk memastikan mangsa yang terjejas mendapat bantuan dengan kadar segera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, semua usaha yang dilakukan merupakan usaha kita untuk meringankan beban serta sebagai proses pemulihan sementara bagi mereka yang terkesan.

Dalam pada itu, JKM juga berperanan untuk mengenal pasti PPS dan menyelaras penempatan bagi mangsa yang ditimpa musibah tersebut, sekali gus menyediakan dan mengagihkan bantuan kepada mereka.

Selain itu, JKM juga bertanggungjawab untuk menjalankan atau menyelaras pendaftaran mangsa bencana bagi maksud pemulihan serta memberi bimbingan nasihat dan kaunseling kepada mangsa yang terkesan.

Suara Sarawak