Jualan Keluarga Malaysia tawar diskaun hingga 20 peratus

KUCHING: Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) kini diperluaskan meliputi kawasan parlimen yang belum pernah diadakan supaya rakyat dapat bersama-sama menikmati barangan yang ditawarkan dengan potongan harga sehingga 20 peratus.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Stanley Tan berkata, perkara tersebut juga permintaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, PJKM yang bermula 2 Disember tahun lalu berjaya menarik kedatangan 426,305 pengunjung di 274 lokasi seluruh negara dan mencatat jualan sebanyak RM7.8 juta.

“Maklum balas pengunjung yang diterima rata-rata menyambut baik dan meminta PJKM ini dilaksanakan secara berkala, mereka juga mengakui bahawa harga barang yang dijual dapat meringankan bebanan kos sara hidup rakyat dalam situasi harga barang yang dilaporkan telah meningkat,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Sehubungan itu, beliau menambah PDNHEP Sarawak juga akan bekerjasama dengan agensi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).  “Kini kami juga memperluaskan PJKM di seluruh negeri ini meliputi Kuching, Sri Aman, Sibu, Bintulu, Miri dan Limbang.

“Antara pasar raya yang terlibat pada minggu ini adalah Everrise Padungan, Kuching, Ming Ming Wholesale,Bau, CYK Trading, Tebedu, Choon Cheong Pandaruan, Limbang, Emart, Bintulu, Everwin Taman Tunku, Miri dan Swan Square, Sibu.  “PJKM kali ini juga berlangsung dua hari bermula 15 Januari,” ujarnya. 

Dalam hal berkaitan, beliau memaklumkan PJKM menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga berpatutan yang lebih murah antaranya ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras, dan darangan keperluan rumah terpilih.

“KPDNHEP juga menggalakkan orang ramai di Kawasan Parlimen berkenaan untuk merebut peluang ini untuk merancang pembelian keperluan rumah dan seterusnya berjimat dari tawaran yang diberikan.  “Kami mengingatkan kepada semua peniaga agar sentiasa beretika mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan.

“Kerajaan menggesa agar rakyat bersabar dan terus bersama kerajaan dalam waktu sukar yang luar biasa ini, turut melanda dunia dan memberi kesan kepada rantaian bekalan global dan negara,” tegasnya.

Beliau juga memberitahu, pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP akan terus melaksanakan pemantauan dan pemeriksaaan bagi memastikan bekalan sentiasa stabil dan tiada elemen pencatutan dalam pasaran.

Untuk rekod, sebarang pertanyaan lanjut dan aduan, orang ramai boleh menyalurkan ke talian WhatsApp di 019-279 4317, aplikasi ez-Adu atau melalui email ke e-aduan@kpdnhep.gov.my


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak