Kanak-kanak kembali riang
JELAS terpancar kegembiraan pada wajah kanak-kanak yang bermain di pusat permainan.

TAMAN permainan kanak-kanak dalaman di dalam pusat beli-belah kembali ‘hidup’ dan meriah setelah sekian lama ditutup berikutan penularan wabak Covid-19.

Pusat aktiviti kanak-kanak yang komprehensif dan direka khas dengan persekitaran yang selamat dan terjamin ini lazimnya menjadi pilihan utama ibu bapa pada zaman moden.

Dengan bayaran sekitar RM14 ke RM22, taman permainan dalaman biasanya menyediakan pelbagai jenis permainan yang menyeronokkan serta mampu membantu merangsang minda, pergerakan dan emosi kanak-kanak.

Antaranya, anak-anak boleh memilih beberapa jenis kerjaya dan merasai pengalaman menjadi seorang doktor, bomba, penjual makanan dan banyak lagi.

Ia membawa mereka ke dunia sebenar dengan menjadi berdikari, bertanggungjawab dan yakin dalam setiap kerjaya dalam suasana yang menyeronokkan.

Setelah lebih enam bulan ditutup, kebenaran untuk kembali dibuka pada awal Januari ini umpama sinar baharu untuk kanak-kanak yang sekian lama terperuk di rumah tanpa hiburan di luar.

Tinjauan Suara Sarawak di taman permainan dalaman salah sebuah pusat beli-belah terkenal di bandar raya Kuching mendapati, jelas terpancar keriangan di wajah kanak-kanak yang datang ditemani ibu bapa masing-masing.

Berlari, bermain dan mencuba pelbagai permainan seperti gelongsor, pelampung angin, masak-masak dan banyak lagi dengan penuh kegembiraan, mereka dilihat begitu bertenaga sambil mempelajari kemahiran sosial serta mengembangkan kebolehan fizikal dan mental.

Menurut penyelia, Nor Syafikah Azim, sejak dibuka semula pada 3 Januari lalu, pusat yang beroperasi dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam setiap hari itu menerima kehadiran yang amat menggalakkan daripada pelanggan-pelanggan cilik tersebut.

“Kami baru mula beroperasi sekitar tiga minggu setelah ditutup sejak Jun tahun lalu.

Namun jumlah kedatangan pelanggan memang agak ramai walaupun pada hari biasa.

 “Sementara pada hujung minggu, jumlah mereka lebih ramai hingga mencecah ratusan orang dalam sehari.

“Ternyata anak-anak ini amat merindui suasana bermain di taman permainan setelah sekian lama hanya duduk dirumah,” katanya ketika ditemu bual.

Bagaimanapun menurutnya, mereka mengehadkan jumlah pelanggan dalam satu-satu masa kepada 90 orang dengan dua jam sekali masuk bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kami yakin apabila musim cuti sekolah minggu hadapan, jumlah pelanggan akan semakin ramai kerana ia memang situasi biasa sebelum pusat permainan kanak-kanak diarahkan tutup dahulu.

“Justeru, saya berharap pusat ini tidak lagi ditutup pada masa depan kerana persekitaran seperti ini penting dalam membantu merangsang imaginasi dan kreativiti kanak-kanak.

“Ia bukan sahaja memperkaya rasa estetik, tetapi juga secara langsung atau tidak langsung mempengaruhi pembentukan dan perkembangan keperibadian kanak-kanak,” katanya sambil menambah, mereka menerima kehadiran pelanggan berusia sartu hingga 12 tahun dengan ditemani ibu bapa atau penjaga.

Sementara salah seorang pelanggan yang menemani anaknya, Zubaidah Ismail, 33, memberitahu, pembukaan semula pusat tersebut memang dinanti-nantikan olehnya.

“Dahulu setiap minggu kami akan ke sini atau taman permainan di pusat beli-belah lain untuk menemani anak bermain.

“Disebabkan anak saya baru seorang, jadi dia memang memerlukan hiburan di luar kerana tiada rakan sepermainan di rumah.

“Jadi dengan membawanya ke taman permainan seperti ini, ia sedikit banyak membolehkannya merasai keseronokan di luar,” ujarnya.

Menurutnya lagi, dia sudah mula membawa anaknya yang berusia tujuh tahun itu ke pusat permainan seawal umur satu tahun untuk merangsang perkembangan dan hiburan.

Pusat permainan tersebut turut dibuka dengan pematuhan SOP yang ketat.

Setiap pelanggan mesti menggunakan pelitup muka, stoking, mencuci tangan, menjaga penjarakan fizikal serta setiap peralatan sentiasa dibersihkan.

Suara Sarawak