KUCHING: Masih terdapat banyak kelemahan dalam pasukan Kuching City FC III (KC FC III), kata ketua jurulatihnya Firdaus Morshidi.

Menurutnya, ia mencakupi pelbagai aspek dan memerlukan masa untuk dirinya memperbaiki kekurangan yang ada bagi memastikan skuad tersebut cukup bersedia untuk mengharungi kempen Piala Belia 2022.

“Memang masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki. Dan masa yang ada harus di manfaat dengan sepenuhnya,” ujar Firdaus kepada Arena Suara Sarawak.

Tegasnya, dua aspek penting yang diberi penekanan ketika ini adalah meningkatkan tahap kecergasan pemain selain memastikan keserasian berada pada tahap maksima.

Justeru katanya, apa yang perlu dilakukan adalah dengan memperbanyakkan aksi persahabatan.

“Dengan adanya perlawanan pemanas badan seperti itu, pemain akan dapat meningkatkan keserasian berpasukan selain turut berperanan meningkatkan tahap kecergasan diri,” ujarnya.

Firdaus menegaskan, pasukannya dalam rangka untuk berkunjung ke Daerah Lundu awal bulan depan dan akan mengadakan dua perlawanan persahabatan.

BARISAN PEMAIN MUDA…Pemain skuad KC FC III. – FOTO ALIF NONI

Suara Sarawak