KCFC uji tiga skuad Liga Super

KUCHING: Skuad Kuching City FC (KCFC) akan menguji beberapa pasukan daripada Liga Super 2022 sebagai penilaian awal keupayaan pemain.

Ketua jurulatih KCFC Irfan Bakti Abu Salim menjelaskan, tiga aksi pemanas badan akan diuji untuk anak-anak buahnya sepanjang berkelana di Semenanjung.

Tiga pasukan tersebut ialah Selangor FC, PJ City serta Negeri Sembilan FC.

“Satu lagi perlawanan mungkin membabitkan kelab yang beraksi dalam Liga M3,” ujar Irfan kepada Arena Suara Sarawak.

Katanya, perlawanan tersebut penting untuk membentuk keserasian para pemain.

“Ia juga memberi peluang kepada saya untuk mengenal pasti barisan bayangan kesebelasan utama,” tambah Irfan sambil menyatakan kesemua aksi pemanas badan itu kelak akan berlangsung pada minggu pertama Februari.

Dalam perkembangan sama, Irfan menyatakan dua pemain import baharu dari Sweden akan tiba di Kuching dua minggu dari sekarang.

KCFC kini telah pun menambat empat pemain dari Semenanjung yang beraksi di posisi penjaga gol, pertahanan, sayap dan penyerang. Turut diserapkan ialah beberapa pemain daripada skuad Piala Presiden. Yang pasti KCFC akan tampil lebih mantap musim ini dengan misi memburu tiket Liga Super 2023.

Suara Sarawak