Kejohanan Bola Baling Piala Ketua Menteri 2022 berlangsung Jun ini

KUCHING: Kerinduan peminat sukan bola baling di seluruh Sarawak bakal terubat berikutan berlangsungnya Kejohanan Bola Baling Terbuka Sarawak 2022, Piala Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg Edisi Ke-15 yang berlangsung pada 4 hingga 7 Jun depan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Baling Sarawak (SAHA), Dr Abang Ismail Abang Haji Julhi menjelaskan, selain Piala Ketua Menteri (Kategori Lelaki), kejohanan Piala Datuk Abdul Rahman Junaidi Edisi Ke-11 (Kategori Wanita) turut dipertandingkan.

“Phak kita sudah pun menetapkan tarikh berkenaan untuk melangsungkan kejohanan tersebut.

“Saya percaya peminat sukan bola baling di seluruh Sarawak pasti lega,” ujar Dr Abang Ismail kepada Arena Suara Sarawak.

Tambahnya, hampir dua tahun pihaknya tidak menganjur kejohanan terbabit disebabkan musibah pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Beliau sebelum itu menegaskan, gelanggang kejohanan masih belum dimuktamadkan lagi sehingga kini.

“Besar kemungkinan kejohanan itu kelak akan berlangsung di Stadium Perpaduan, Petra Jaya,” jelas Dr Abang Ismail lagi.

Dalam pada itu, kejohanan yang merupakan aktiviti utama pihaknya akan disertai sama pasukan dari Semenanjung selain Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Kebiasaan pasukan atau kelab handalan dari Semenanjung termasuk Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan akan turut serta,” ujarnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak