Kejohanan Futsal Piala Parlimen Betong pada Mac depan
MESYUARAT…Abang Suhordie Abang Zaini (tengah) ketika mempengerusikan mesyuarat tersebut.

KUCHING: Kejohanan Futsal Piala Parlimen P.204 Betong antara program yang terawal dilaksanakan Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA) pada tahun ini.

Presiden BDFA, Abang Suhordie Abang Zaini memberitahu, pihaknya pada mesyuarat exco badan induk berkenaan hujung minggu lalu telah menetapkan kejohanan terbabit antara yang terdahulu dilangsungkan.

“Saingan dibahagi kepada tiga zon iaitu Zon Spaoh (5 dan 6 Mac), Zon Debak (12 dan 13 Mac) dan Zon Betong (19 dan 20 Mac).

“Pusingan akhir dijadual berlangsung di Riveria Sports Centre Debak pada 26 dan 27 Mac,” ujar Abang Suhordie kepada Arena Suara Sarawak.

Menurut Abang Suhordie, pusingan akhir itu kelak yang akan menghimpunkan 16 pasukan terbaik dari setiap zon iaitu enam pasukan (Zon Spaoh), lima pasukan (Zon Debak) dan lima pasukan (Zon Betong).

Dalam pada itu, Abang Suhordie memberitahu pada mesyuarat tempoh hari exco terlibat turut membincangkan tarikh penganjuran Liga Betong 2022.

Selain, satu lagi kejohanan berprestijh iaitu Piala Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Timbalan Ketua Menteri.

“Cadangan awal kita untuk menganjurkan Liga Betong 2022 pada 14 Mei nanti.

“Segalanya bergantung kepada keadaan dan diharap segalanya berjalan lancar,” tambah Abang Suhordie lagi.

Suara Sarawak