Kekerapan penerbangan ke Sarawak ditingkatkan kepada 562 seminggu

KUCHING: Kementerian Pengangkutan Sarawak telah menambah kekerapan penerbangan mingguan ke Sarawak daripada 307 kepada 562 penerbangan berkuat kuasa hari ini.

Menterinya Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, keputusan itu dibuat setelah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak meluluskan dan mengambil kira pelbagai faktor termasuk pelaksanaan Pelan Pemulihan Nasional (PPN) Fasa keempat di negeri ini sejak 3 Januari lalu.

Faktor lain katanya adalah bagi memenuhi permintaan untuk sambutan Tahun Baru Cina, jumlah kes harian positif Covid-19 yang rendah di negeri ini selain untuk mempromosikan industri pelancongan.

“Bagi kekerapan penerbangan dari luar Sarawak ke Kuching, ia meningkat daripada 149 kepada 279 kali seminggu.

“Manakala kekerapan penerbangan ke Miri ditambah daripada 61 kepada 127 kali seminggu; Sibu dari 45 kepada 83 kali seminggu; Bintulu dari 38 kepada 59 kali seminggu manakala Limbang dan Mulu kekal tujuh kali seminggu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dengan peningkatan kekerapan penerbangan ini tambahnya, JPBN Sarawak juga telah mengarahkan semua syarikat penerbangan untuk menetapkan harga tambang penerbangan biasa dan lebih rendah.

“Syarikat penerbangan juga diingatkan untuk membantu dan memastikan hanya penumpang yang diberi vaksin sepenuhnya dibenarkan menaiki pesawat mereka.

“Ini sangat penting untuk memastikan SOP baharu JPBN dipatuhi dengan teliti dan untuk melindungi Covid-19 daripada terus merebak di negeri ini,” tambahnya.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak