Kerajaan Sarawak cadang penubuhan entiti bekalan air bersepadu

KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan sebuah entiti bekalan air bersepadu dalam meningkatkan keberkesanan dan kecekapan operasi bekalan air di negeri ini.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi berkata, perancangan tersebut bagi meningkatkan fungsi kawal selia Pihak Berkuasa Air Sarawak (Sarawak Water Authority) dalam melaksanakan pengurusan sumber air serta kawasan tadahan di seluruh Sarawak.

“Ordinan Air 1994 menetapkan bahawa Pihak Berkuasa Air Sarawak mempunyai kawalan dan penyeliaan am ke atas semua pihak berkuasa bekalan air dan pengurusan sumber air dan kawasan tadahan air di negeri ini.

“Pada masa ini, SWA berada di bawah tanggungjawab Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi yang mana tiada organisasi khusus untuk SWA melaksanakan fungsi kawal selia dengan berkesan dan cekap, walaupun beberapa fungsi telah diwakilkan kepada agensi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis bengkel Kajian Pembentukan Satu Entiti dan Badan Korporat Bekalan Air Sarawak di Imperial Hotel, di sini, hari ini.

Untuk itu tegasnya, sebuah bengkel Kajian Pembentukan Satu Entiti dan Badan Korporat Bekalan Air Sarawak telah dijalankan selama dua hari bermula 13 Januari lalu.

Menurutnya, kajian tersebut penting sebagai langkah awal Kementeriannya melakarkan hala tuju masa depan dalam usaha mentransformasikan industri bekalan air Sarawak.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak