Presiden Wishesland Chi Poh Yung (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Fatimah (tengah). Turut kelihatan Pengarah JKM Noriah Ahmad.

KUCHING: Kerajaan Sarawak telah meluluskan sejumlah RM50 juta untuk membina Pusat Komuniti Keperluan Khas (SNCC) yang berfungsi sebagai pusat sehenti serta bersepadu untuk komuniti berkeperluan khas di bawah satu bumbung.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pusat berkenaan telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Bagaimanapun katanya, pusat tersebut masih di peringkat awal dan ia masih berada dalam peringkat reka bentuk.

“Sebaik sahaja reka bentuk bangunan itu diluluskan, maka peringkat seterusnya adalah untuk mendapatkan tender.

“Insya-Allah, kemungkinan dalam jangka lima tahun akan datang, ia dapat disiapkan di bawah RMK-12,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan bengkel Pemerkasaan individu berkeperluan khas (OKU), di sini, hari ini.

Dengan kewujudan kompleks ini tambahnya, ia menjadikan Sarawak negeri pertama di Malaysia yang membina pusat komuniti berkeperluan khas di bawah satu bumbung untuk golongan OKU.

Di SNCC katanya, keseluruhan spektrum keperluan orang kurang upaya, dari muda hingga dewasa akan dipenuhi.

“Terdapat kemudahan untuk diagnosis, intervensi awal, pendidikan, latihan vokasional, pekerjaan, pusat jagaan harian, sukan dan rumah kediaman,” katanya.

Suara Sarawak