Datuk Rosol Wahid semasa sesi ‘Walkabout’ sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) di Pasar Komuniti Stutong, di Kuching, hari ini.

KUCHING: Peniaga dibenar menaikkan harga barangan asalkan tiada unsur pencatuan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid.

Menurutnya, kenaikan harga bahan mentah yang menyebabkan peniaga juga perlu menaikkan harga barangan di pasaran.

“Hari ini, saya mendengar keluhan para peniaga yang mengatakan mereka terpaksa menaikkan harga disebabkan harga bahan mentah yang meningkat.

“Justeru, mereka boleh menaikkan harga, tetapi bukan untuk mendapatkan keuntungan yang tinggi dan melampau,” katanya selepas membuat sesi ‘Walkabout’ sempena Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) 2022 di Pasar Komuniti Stutong, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Rosol berkata barangan di pasar itu mematuhi SHMKM yang telah ditetapkan termasuk telur, ayam, tomato dan sebagainya.

Sementara itu, Rosol memaklumkan bahawa harga barangan dijangka meningkat selepas SHMKM berakhir iaitu pada 4 Februari kelak.

Katanya, pihaknya sudah meramalkan perkara tersebut, namun ia tidak semestinya tepat kerana ramalan yang dibuat adalah untuk memberi langkah berjaga-jaga kepada pengguna agar lebih bersedia.

Suara Sarawak