KETAT… Kapten KC FC Joseph Kalang Tie dikawal ketat oleh pertahanan Sabah FC, Dominic Tan.

KUCHING: Kuching City FC (KC FC) menewaskan Sabah FC dengan jaringan 1-0 dalam aksi perlawanan persahabatan pra-musim yang berlangsung di Stadium Likas, semalam.

Jaringan tunggal Amir Amri Salleh pada minit terakhir babak kedua menjadi penentu skuad kendalian Irfan Bakti untuk meraih kemenangan pada perlawanan tersebut.

Kedua-dua pasukan saling mempamerkan aksi persembahan yang cukup menarik dengan saling melakukan serangan balas.

Babak pertama perlawanan berakhir tanpa jaringan walaupun terdapat beberapa peluang untuk pasukan tuan rumah mendahului jaringan.

Sabah FC dikendalikan jurulatih, Ong Kim Swee dengan dibarisi beberapa pemain kebangsaaan terdiri daripada Khairul Fahmi Che Mat, Badrul Bakhtiar, Rizal Ghazali dan Dominic Tan.

KAPTEN… Joseph Kalang Tie (dua dari kanan) selaku kapten KC FC manakala Badrul Bakhtiar (dua dari kiri) selaku kapten Sabah FC.

Jurulatih KC FC, Irfan Bakti berkata pemain-pemain berjaya mempamerkan permainan dengan disiplin serta dapat mengawal posisi di bahagian pertahanan dengan baik.

“Keserasian pemain import termasuk Yuki Tanigawa dilihat dapat menerima corak permain rakan sepasukan walaupun terdapat beberapa rakan sepasukan yang baharu.

“Dalam perlawanan ini juga kita turut mencuba beberapa pemain baharu dari bekas pemain Piala Presiden bagi melihat keserasian mereka,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Likas menyaksikan sekitar 5,000 penonton hadir bagi memberi sokongan kepada pasukan masing-masing.

Suara Sarawak