BINTULU: Seorang lelaki mengalami kecederaan apabila kereta dipandunya terlibat kemalangan kendiri di Jalan Ibraco berhampiran Klinik Pergigian i-Smile II, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintulu Wan Kamaruddin Wan Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 2.56 pagi tadi sekali gus menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi kejadian, didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki.

“Mangsa bagaimanapun telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba dan dihantar ke Bintulu Medical Centre,” katanya.

Ujarnya, tiada sebarang operasi dijalankan kerana mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam.

Anggota bomba memeriksa keadaan kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Ibraco, awal pagi tadi.

Suara Sarawak