Lelaki didenda, penjara jual telefon bimbit curi

KUCHING: Seorang lelaki berusia 34 tahun didenda RM2,000 atau penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan melupuskan barang curi dengan menjual kepada orang lain, pada Disember tahun lalu.

Tertuduh Muhammad Hardi Roslan, 34, berasal dari Simunjan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Mengikut pertuduhan, dia sengaja melupuskan barang curi berupa sebuah telefon bimbit jenama Huawei milik seorang wanita berusia 26 tahun dengan menjualkan kepada orang lain di sebuah kedai telekomunikasi pada 5 Disember 2021 hingga 8 Januari lepas.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh menggunakan motosikal telah meragut beg tangan seorang wanita hingga menyebabkan mangsa kehilangan beg tangan, sekeping kad bank, kad pengenalan, sebentuk cincin emas dan sebuah telefon pintar dengan anggaran kerugian RM930.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di Lorong Wan Abdul Rahman, sekitar jam 9.45 pagi, 5 Disember tahun lalu.

Mangsa kemudian membuat laporan polis, yang seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh pada 5 Januari lalu di Kampung Tabuan Melayu kira-kira jam 4.30 petang.

Berdasarkan hasil siasatan, individu bernama Lim Shen Jit mengecam tertuduh sebagai orang yang telah menjual telefon pintar kepadanya dengan harga RM200 di sebuah kedai alat telekomunikasi di Tabuan Jaya.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak