KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM4,500 atau lapan bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dua pertuduhan menampar muka dan merosakkan lampu isyarat kereta milik kawan bekas isterinya.

Tertuduh Mohd Roy, 37, mengaku bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh berasal dari Sibu itu didakwa sengaja mencederakan rakan bekas isterinya dengan menampar menggunakan segulung dokumen.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan terbabit, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Selain itu, pertuduhan kedua, dia didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana sengaja merosakkan kereta mangsa dengan menumbuk lampu isyarat bahagian belakang sebelah kiri sehingga pecah serta menyebabkan kerugian sebanyak RM400.

Bagi pertuduhan kedua, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau lima bulan penjara.

Tertuduh didapati melakukan perbuatan terbabit di tempat letak kereta di Bangunan Mahkamah Syariah Jalan P.Ramlee, sekitar jam 11.15 pagi, 30 Mac 2021.

Dipercayai, punca tertuduh berbuat demikian kerana dia menuduh mangsa masuk campur dalam urusan perceraiannya dengan bekas isteri.

Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Suara Sarawak