Antara hidupan liar yang dirampas kerana tidak mempunyai permit

SERIAN: Pihak polis menahan seorang lelaki berusia 57 tahun kerana memiliki spesies haiwan hidupan liar terlindung tanpa permit di sebuah rumah dekat Kampung Krusen Kranji Tebekang, semalam

Antara spesies hidupan liar yang dirampas ialah seekor burung hantu, dua ekor burung murai, 10 ekor Belukuk (Baning), seekor (1) ular sawa, 35 ekor kura-kura dan empat ekor labi-labi.

Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 10 Sibu Superitendan Mohd Hafiz Kadir, serbuan dibuat atas hasil risikan dan maklumat sepasukan polis dari Batalion 10 PGA Sibu yang sedang menjalankan Operasi Awas bersama beberapa orang anggota Pasukan Gerakan Am.

“Hasil pemeriksaan lanjut, didapati pemilik rumah tersebut gagal menunjukkan sebarang dokumen dan permit yang sah.

“Pasukan pemeriksaan telah menjumpai pelbagai jenis spesies hidupan liar terlindung di bawah Seksyen 29 Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998,” katanya dalam satu kenyataan.

Kesemua spesies hidupan liar yang dirampas diserahkan kepada Perbadanan Hutan Sarawak (SFC) Cawangan Kuching untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 29 Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

Jika sabit kesalahan di bawah Akta berkaitan, pesalah boleh dikompaun sehingga RM970,000.00

Suara Sarawak